Monday, November 22, 2010

Bertudung

Di awal 90-an, bilangan orang yang bertudung semakin ramai. Di mana-mana sahaja kita boleh bersua dengan wanita yang bertudung. Sama ada di kilang, di sekolah, di stesen bas, di pejabat, di universiti dan di politeknik malah beberapa pengacara televisyen serta radio pun sudah memakai tudung. Alhamdulillah tetapi.......

Tetapi yang menyedihkan, kalau dahulu wanita bertudung tidak akan kita temui di taman-taman bunga, di tempat- tempat hiburan, di panggung wayang serta berpegangan tangan dengan teman lelaki. Kalau dahulunya wanita bertudung bersih mukanya daripada calaran alat-alat solek, tetapi kini dengan mudah kita boleh jumpa wanita bertudung berpeleseran dengan teman lelaki di tempat-tempat sedemikian.

Tudung berwarna warni mengikut fesyen sesuai dengan aliran zaman dan fesyen baju. Kadang-kadang wanita yang memakai tudung pun tidak sempurna mengikut syariat. Kadang-kadang macam hendak terlondeh pun ada kita tengok. Antara hendak tutup dan hendak buka. Akhlak dan tutur katanya kasar, malah kadang kala lebih buruk daripada mereka yang tidak memakai tudung atau buka auratnya.

Sesetengahnya daripadanya yang bertudung tetapi tidak sembahyang. Imej wanita bertudung telah tercemar dengan wanita-wanita yg menjadikan tudung sebagai fesyen atau terpaksa pakai kerana mengikut peraturan atau mendengar perintah ibu bapanya. Kalau dahulu bila wanita itu bertudung, automatik dia sudah malu ke panggung wayang, malu untuk berasmara, malu untuk ke tempat hiburan dan sebagainya.

Tetapi kini tudung sudah tidak mempunyai peranan yang untuk mencegah manusia dari terjerumus ke dalam lembah maksiat.

Bila direnungkan mengapa hal ini boleh terjadi, maka jelaslah wanita-wanita yang bertudung pada hari ini jahil mengenai tujuan dan peranan pemakaian tudung. Ramai wanita yang memakai tudung pada hari ini kerana terikut-ikut dengan suasana. Mereka lihat adik beradik, teman sekolah, teman pejabat atau jiran telah ramai memakai tudung, maka timbul rasa malu kerana mereka sahaja yang masih tidak bertudung. Lantaran itu mereka mengambil keputusan untuk memakai tudung, walaupun hati tidak berapa menyetujuinya.

Kini masyarakat telah menerima wanita yang pakai tudung. Ujian sudah tidak besar lagi. Kadang kala orang lelaki yang hendak berkahwin pun memberi syarat, wanita yang hendak dikahwininya mestilah bertudung.

Setengahnya apabila mereka melihat wanita lain memakai tudung lebih cantik dan manis, mereka pun hendak memakainya, tanpa mengetahui tentang ilmunya, mengapa mesti pakai tudung? Ada juga yang terpaksa memakai tudung kerana desakan keluarga atau suami. Ada yang mahu menjadikan tudung macam fesyen. Sekejap pakai, sekejap buka. Lantaran itulah nilai orang yang bertudung pada hari ini semakin menurun.

Sudah tidak semahal wanita yang bertudung awal-awal dahulu. Hanya wanita yang berpurdah yang belum kelihatan berjalan-jalan di taman bunga atau di tempat-tempat hiburan. Mungkin taraf berpurdah sama dengan wanita yang bertudung dan wanita yang memakai tudung diperingkat awal dahulu.

Sesuatu amalan yg dilakukan kalau bukan atas dasar ilmu dan yakin serta faham apa yang mereka perbuat akan nampak ganjil dan pincang hasilnya. Sesuatu yg di buat bukan dari hati yang ikhlas, walau pun nampak hebat tetapi semuanya kosong. Tiada nilai di sisi Allah.

Wanita yang pakai tudung selain daripada keinginannya untuk menutup aurat, mereka tidak akan dapat berbohong dengan Allah walaupun di dunia mereka berjaya membohongi mata manusia mengatakan mereka juga sudah menutup aurat. Tetapi di akhirat nanti, niat sebenar dan apa yang ada di dalam hati mereka akan diselongkar dan didedahkan oleh Allah di Padang Makhsyar di hadapan jutaan umat manusia.

Rasulullah S.A.W pernah ditanya oleh seorang sahabatnya.
Sahabat : Ya Rasulullah, Dengan apakah mencapai keselamatan kelak?
Rasulullah S.A.W : Jangan menipu Allah.
Sahabat : Bagaimana menipu Allah?
Rasulullah S.A.W : Iaitu mengerjakan apa yang diperintahkan oleh Allah, tetapi tidak kerana Allah.

Disamping tiada niat untuk menutup aurat dengan bertudung akan ditolak oleh Allah, wanita yg berniat untuk menutup aurat dengan tudung tetapi tudungnya berfesyen sehingga menarik lelaki untuk memandangnya, atau pun tudung yang dipakainya tidak memenuhi syarat menutup aurat yakni bertudung tetapi masih nampak pangkal leher, bermakna dia belum lagi sempurna menutup auratnya. Malah semakin berdosa kalau dengan memakai tudung yang berfesyen itu menyebabkan lelaki jatuh hati. Dikala itu tudung bukan menjadi alat menutup aurat, tetapi menjadi alat untuk berhias. Wanita begini bukan mendapat pahala dengan menutup aurat tetapi mendapat dosa.

Bahaya besar kalau beramal bukan kerana ilmu tetapi kerana mengikut masyarakat dan peredaran zaman. Sementara yang mengamalkan syariat kerana pengaruh sekeliling, hanya mampu bertahan atau beramal selagi dia berada di dalam suasana begitu. Tetapi bila dia terkeluar dari kelompok masyarakat, dia sudah tidak mampu bertahan dan turut hanyut dengan masyarakat di sekitarnya. Ujian yang sedikit sahaja mampu menggoyangkan imannya.

Oleh itu kalau hendak mendapat keredhaan Allah, maka seseorang itu mestilah berilmu dengan apa yang dilakukannya. Jesteru itu, menuntut ilmu adalah perkara yang utama sebagai penyuluh ibadah. Di samping ada ilmu, amalan yg dilakukan hendaklah diniatkan kerana Allah bukan kerana lain. Kita mesti bina keyakinan di dalam diri kita dan mempunyai kefahaman yang mendalam agar kita tidak mudah tergugat apabila datang ujian, betul di dalam tindakan dan bersabar di dalam apa jua kesusahan.

Renung-renungkanlah wahai wanita yg berada di luar sana. Jangan memakai tudung hanya ingin mengikut fesyen semata-mata. Sekian

0 comments:

Post a Comment